Spiga

Rakyat mahu perubahan lebih dinamik - Gamis

Nuha Rahim
Tue Jun 17, 08 5:42:40 pm MYT
KUALA LUMPUR, 17 Jun (Hrkh) - "Kondisi kekuatan sesebuah gerakan mahasiswa yang berjaya ialah apabila berada dalam keadaan ditekan dan disekat.

"Namun, ujian sebenar bagi mereka ialah kekangan dari sudut kemewahan dan kesenangan,"jelas Presiden Gamis, Dzulkhairy Mohd Noor kepada Harakahdaily hari ini.

Sirah para sahabat Rasulullah saw, kata beliau, seperti zaman Bani Umayyah, Abbasiyyah dan Fatimiyyah telah membuktikan kenyataan tersebut.

Tambahnya, gerakan mahasiswa sebagai kuasa pendesak dalam masyarakat dilihat sebagai pengganggu oleh pemerintah suatu masa dulu sehingga termaktubnya Akta Universiti dan Kolej Universiti 1978(Auku).

"Hakikatnya, Auku bukanlah perkara terbesar yang menjadi matlamat gerakan mahasiswa Malaysia.

"Masih ada isu besar yang menjadi agenda lebih utama dan perhatian golongan tersebut dewasa ini,"jelas Dzulkhairy.

Walaupun,tegas beliau lagi, kemenangan Pakatan Rakyat menghantar lebih ramai ahli Parlimennya namun tidak semestinya melebarkan ruang untuk mahasiswa terus menjadi pencetus pembaharuan di dalam negara.

"Sebaliknya, kemenangan Pakatan Rakyat menjadi satu isyarat penting bahawa rakyat mahukan perubahan yang lebih dinamik berlaku di dalam negara kita," katanya lagi.

Parti Mahasiswa Negara (PMN) yang sebelum ini diharapkan dapat membawa satu pola perubahan besar dalam Malaysia dilihat seolah-olah diam membatu selepas pilihan raya baru-baru ini menimbulkan pelbagai tanda tanya.

Gamis menyifatkan tindakan PMN itu sebagai langkah menyusun strategi yang lebih ampuh untuk menghadapi realiti cabaran.

"Saya mendapat maklumat bahawa ada ura-ura untuk wujudkan satu parti mewakili suara pelajar dan masih berada di peringkat perbincangan.

"Namun, saya menyeru semua mahasiswa untuk kembali memantapkan tarbiyah dalam usaha kita mewujudkan generasi tarbawi yang memiliki keupayaan dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, kemasyarakatan dan sebagainya," tambah beliau.

Baca Selanjutnya...

Kualiti IPTA negara menjunam akibat Umno

Mohd Zamirul Mohd Dzaki
Tue Jun 17, 08 3:43:36 pm MYT
GEORGETOWN,17 Jun (Hrkh) - Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim menyatakan, mutu serta kualiti pengajian tinggi di Malaysia menurun disebabkan sikap pemimpin Umno yang tidak telus melantik golongan cerdik pandai untuk menerajui universiti-universiti di Malaysia.

Ini kerana tegas beliau, Umno hanya melantik golongan dari kalangan mereka sahaja bagi menerajui universiti di Malaysia dan ia jelas memperlihatkan amalan kroninesme dalam memilih pentadbir universiti.

"Perkara ini menyebabkan kualiti pengajian tinggi di Malaysia menjunam dengan teruk sekali sehingga tiada satu pun universiti di Malaysia yang tersenarai dalam ranking universiti terbaik dunia.

"Universiti Malaya dan Universiti Sains Malaysia yang pernah tersenarai dalam 100 universiti terbaik dunia sekitar lapan tahun dahulu kini langsung terkeluar dari senarai universiti terbaik dunia,"jelasnya ketika menyampaikan ceramahnya dalam program "Pemimpin Bersama Rakyat" yang diadakan di Stadium Bandaraya Pulau Pinang baru-baru ini.

Tambahnya, ini disebabkan sikap pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) hanya memilih individu yang pro kepada mereka sahaja untuk menerajui universiti tersebut dan bukan berdasarkan kemampuan dan kebolehan individu.

Tegas Dato' Seri Anwar lagi, dasar Pakatan Rakyat apabila membentuk kerajaan persekutuan nanti adalah memastikan pentadbiran universiti di Malaysia ditadbir dengan telus dan baik.

"Dalam Pakatan Rakyat hanya mereka yang benar-benar mempunyai kelayakan dan berkemampuan akan dipilih menerajui dan mentadbir universiti di Malaysia tanpa adanya unsur kroninisme demi mengangkat mutu pengajian tinggi di Malaysia agar setanding di peringkat dunia,"katanya.

Program tersebut berjaya menghimpunkan ribuan rakyat Pulau Pinang dari pelbagai kaum. Mengikut rekod, program tersebut berjaya menghimpunkan jumlah pengunjung paling ramai dalam sejarah Stadium Bandaraya Pulau Pinang.

Selain Dato' Seri Anwar turut berpidato ialah Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Baca Selanjutnya...

Masa untuk menukar kerajaan BN kepada Pakatan Rakyat sudah tiba

Mohd Rashidi Hassan
Tue Jun 17, 08 3:50:23 pm MYT
Difahamkan seawal November 2007 lagi, sudah dilontarkan kemungkinan kenaikan harga minyak dalam mesyuarat di antara Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan anggota exco kewangan kerajaan negeri dari seluruh negara.

Ketika itu, Abdullah dilaporkan sudah membayangkan bahawa subsidi minyak kemungkinan akan dikurangkan atau dihapuskan bagi mengurangkan bebanan kerajaan.

Justeru di kalangan penganalisis ekonomi menjangkakan harga minyak akan dinaikkan sebelum Pilihan Raya Umum ke 12, namun ia segera dinafikan kerajaan.

Jika penarikan balik subsidi minyak dibuat sebelum pilihan raya, nescaya kerajaan Barisan Nasional yang ada pada hari ini, sudah lama pupus di muka bumi.

Tanpa menggunakan isu kenaikan harga minyak pun, Pakatan Rakyat sudah menang di enam negeri (termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) dengan 82 kerusi Parlimen, mungkin jika harga minyak dinaikkan, BN akan 'totaly wiped out' ditolak rakyat.

Langkah menaikkan harga minyak secara mendadak, dengan menarik balik subsidi ini, merupakan langkah yang paling tidak popular, dibuat Abdullah dalam keadaan imejnya, BN dan Umno yang sudah tercalar dari perspektif rakyat.

Ianya merupakan langkah yang paling tidak bijak, yang bakal menunjuk jalan mudah bagi Pakatan Rakyat menumbangkan BN.

Kesan domino menyebabkan ekonomi menguncup

Dalam menguruskan soal ekonomi, Abdullah tidak keseorangan. Beliau dibantu seluruh anggota Kabinetnya, khususnya Menteri Kewangan II, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan di bawah JPM sendiri ada Unit Perancangan Ekonomi (EPU).

Timbul pertanyaan di kalangan rakyat, tidakkah kerajaan membuat perbincangan atau perancangan serta mengkaji impak-impak ekonomi dengan menarik balik subsidi?

Apabila harga petrol dinaikkan RM0.78 sen seliter, diesel dinaikkan RM1.00 seliter, ianya menghasilkan kesan domino kepada ekonomi, di mana rakyat begitu merasai tekanan dan terbeban.

Kesan ketara ini, disusuli dengan kenaikan harga makanan, barangan keperluan harian, produk industri serta lain-lain menyebabkan rakyat semakin tertekan.

Tekanan ini menyebabkan ekonomi negara semakin menguncup.

Misalnya jika dilihat dari satu aspek, para peniaga gerai makanan mengadu pelanggan semakin tidak ramai, bila tidak ramai, peniaga akan mengurangkan pembelian bahan mentah. Jika tidak laku, peniaga terpaksa menutup gerai atau memecat pekerja.

Kesan pengurangan pesanan bahan-bahan mentah juga akan menyebabkan industri perkilangan terjejas.

Apabila kuasa beli rakyat berkurangan, perniagaan tidak laku, penghasilan produk yang tidak kompetitif dan ia juga akan menyebabkan indeks pengangguran serta inflasi yang mungkin meningkat.

Aspek ini belum lagi dikaji kesannya kepada bentuk perniagaan yang lain, industri perkilangan, industri pembuatan serta yang terbabit dalam sektor import eksport.

Secara keseluruhannya teori domino yang berlaku kepada ekonomi negara menjejaskan keseluruhan rakyat dari pelbagai sektor dan pekerjaan.

Kegelisahan rakyat dizahirkan tanpa selindung lagi. Di mana-mana sahaja, sama di masjid, pejabat, premis perniagaan, gerai makan, stesyen bas, di kedai kopi, hatta sehingga di pejabat Umno di PWTC juga, rakyat merungut tentang kelemahan PM menguruskan kesejahteraan rakyat.

Tiada kewajaran menyokong kerajaan yang lemah

Rakyat kini, tidak melihat kewajaran bagi sesebuah kerajaan yang juga antara negara pengeluar minyak, menyalahkan kenaikan ekonomi di peringkat global, untuk memujuk rakyat terus menyokong mereka.

Rakyat Malaysia adalah mereka yang matang berfikir serta membuat tindakan. Tahap kematangan yang tinggi ini diungkapkan melalui keputusan PRU lepas.

Rakyat tidak lagi mahu parti yang mempunyai 'solid' majoriti dalam kerajaan. Rakyat mahukan ketelusan serta 'check and balance' dalam pentadbiran negara.

Maka akibat dari kesan ekonomi yang tidak menentu ini, rakyat mula mempersoalkan, apakah pegawai-pegawai kerajaan di EPU dan Kementerian Kewangan tidak buat kerja dan tidak mengkaji kesan seburuk ini?

Atau pun mungkin, kertas kajian mengenai impaknya sudah disediakan, tetapi tidak dibaca atau tidak difahami oleh PM sendiri?

Atau pun mungkin Abdullah yang tidak memahami soal ekonomi, juga terkenal dengan sifat 'spoon feeding'nya, menerima taklimat silap yang diberikan oleh pegawai lulusan Oxford University, yang bukan mahir dibidang ekonomi tetapi major dalam bidang linguistik?

Kesilapan besar Abdullah ialah, beliau tidak disokong dengan kajian yang rapi serta mendalam dan jelas tidak mempunyai langkah pemulihan terancang bagi mengendalikan krisis kenaikan harga minyak dalam negara.

Apabila menerima bantahan menyeluruh di kalangan rakyat, kerajaan mula kelam kabut.

Langkah 'ad hoc' terdesak terpaksa diambil, tiba-tiba elaun anggota Kabinet dipotong 10 peratus, memberi rebet tunai, mengurangkan cukai pendapatan, membayar gaji dua kali sebulan dan entah apa-apa lagi hendak dilakukan.

Semakin banyak langkah 'ad hoc' dibuat, kerajaan menjadi semakin tidak popular.

Apabila tiada cara lain, kerajaan meminta rakyat berjimat cermat, kurang menggunakan kenderaan persendirian, sebaliknya menggunakan pengangkutan awam.

Cadangan kerajaan ini turut menerima rungutan rakyat, macamlah pengangkutan awam negara begitu efisyen.

Jika hendak dihurai soal kelemahan pengangkutan awam ini begitu banyak, ia memerlukan satu topik yang khusus.

Semua ini menimbulkan persepsi negatif rakyat, bahawa langkah 'ad hoc' yang dibuat Abdullah ini tidak akan berhasil. Keyakinan rakyat terhadap kerajaan sukar dipulihkan.

Rakyat bukan tidak boleh menerima kenaikan harga minyak, rakyat juga rasional. Tidak bolehkah Abdullah dan kerajaan membuat sesuatu dasar dengan perancangan yang teliti?

Tidak bolehkah langkah-langkah pemulihan dikemukakan secara terancang, dibentangkan bersekali ketika membuat pengumuman kenaikan harga minyak?

BN 'underestimate' kuasa rakyat

Atau mungkin juga kerajaan BN memikirkan rakyat Malaysia begitu baik dan tidak akan membuat bantahan yang boleh mengakibatkan mereka kehilangan kuasa.

BN sudah membuat kesilapan yang kedua, iaitu kesilapan yang lebih besar apabila mereka 'underestimate' kuasa rakyat.

Kesilapan pertama dilakukan pemimpin BN sewaktu menghadapi PRU ke 12. Mereka terlalu 'confident' untuk mengekalkan kuasa sehingga 'underestimate' pengaruh pembangkang di kalangan rakyat.

Hakikatnya pemimpin BN tidak menyedari bahawa sebarang bentuk kekangan ekonomi yang melampau akan membawa kesan politik yang buruk.

Kelemahan besar anggota komponen BN begitu terserlah apabila mereka terbukti gagal membawa kestabilan politik dan kesejahteraan ekonomi.

Rakyat semakin hilang keyakinan kepada BN. Keadaan negara sekarang ini membuktikan, persepsi bahawa hanya BN sahaja yang mampu memerintah sudah lenyap.

Rakyat bukannya hamba kepada kerajaan BN. Rakyat adalah tuan dalam negara. Tuan berhak menentukan masa depannya sendiri.

Tiada jalan lain untuk mengubah nasib rakyat, selain mengubah kerajaan BN kepada Pakatan Rakyat.

Justeru, rakyat harus memberikan sepenuh kepercayaan kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim untuk menerajui negara dengan pembentukan Kerajaan Persekutuan Pakatan Rakyat.

Jika 16 September 2008 terlalu lewat, rakyat boleh membantu Anwar menyegerakannya, dengan mengajak wakil rakyat mereka beramai-ramai berhijrah kepada Pakatan Rakyat.

Jika dalam Gerakan, MCA, SAPP, PBB sudah wujud perbincangan 'wajar atau tidak untuk meninggalkan BN', maka parti-parti komponen BN lain juga harus memikirkan opsyen ini.

Berubahlah, berhijrahlah demi kebaikan rakyat. Jika rakyat tidak menyokong mereka, nescaya mereka akan pupus tidak lama lagi.

Masa untuk menukar kerajaan sudah tiba.

Baca Selanjutnya...